Tuesday, April 20, 2010

ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS?

Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.
“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.
“Mengapa?” balas saya.
“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”
Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?
Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”
Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.
“Oh ramai encik…”
“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”
Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
“Kakak, boleh saya bertanya?”
“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.
“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”
Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”
Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.
“Maksud encik?”
“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”
“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”
“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”
“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?”
“Maksud kakak?”
“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”
“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”
Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.
“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”
Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.
“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”
Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”
“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’
“Pasti ada! Insya-Allah.”
“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.”
“Subhanallah!”
“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”
“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.
“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!”
“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”
“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.”
“Maksud encik?”
“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”
“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”
Giliran saya pula tersenyum.
“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back… Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar.
“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”
“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”
“Maksud encik?”
“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”
“Kenapa?”
“Kita akan sakit jiwa!”
“Kenapa?”
“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.
“Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.
“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”
“Ah, kita terlalu ego…”
Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?

Thursday, April 8, 2010

Lagu Anak Nabi Kita



Salam semua,
Segan sendiri bila Mira menyanyikan lagu Anak Nabi Kita dalam pelatnya.
Kami sekeluarga terhibur dengan semangatnya yang menyanyi lagu ini berulang ulang tak kira dimana kami bersama.
Aku cuba cari lirik dalam internet dan dapat lirik penuh seperti dibawah.
Nampaknya banyak perkara yang kita boleh belajar dari anak sendiri.

Anak nabi kita
Ada tujuh orang
Tiga laki-laki
Empat perempuan
Kasim Abdullah Ibrahim Fatimah
Zainab Ummi Kalthum
Siti Rokiah

Thursday, March 4, 2010

10 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Sekiranya Anda Ditahan Polis

1. BAGAIMANA MENDEFINASIKAN ISTILAH ‘DITAHAN’? HANYA APABILA …
a. Polis berkata kepada anda, “Anda ditahan”
b. Polis menggari tangan anda
c. Anda dilarang dari meninggalkan sesebuah bilik, kawasan atau sebagainya oleh pihak polis

2. BAGAIMANA SEKIRANYA ANDA DITAHAN OLEH PIHAK POLIS (semasa berjalan, memandu pulang dsb.)
a. Anda mungkin akan disoal. HANYA berikan butir-butiran diri anda seperti nama, nombor kad pengenalan, alamat. Anda juga mungkin akan diminta menunjukkan kad pengenalan diri anda
b. Anda tidak perlu menjawap lain-lain soalan
c. Biasakan bertanya pengenalan diri polis yang berkenaan. Sentiasa catatkan nama dan nombor kad pengenalan mereka.
d. Catatkan nombor kenderaan ronda mereka

3. JIKA ANDA DITANYA LAIN-LAIN SOALAN
a. Tanya kepada polis berkenaan, “Adakah saya ditahan?”
b. Sekiranya mereka berkata “Ya”, jangan menjawap apa-apa lagi soalan yang diajukan kepada anda. Adalah menjadi hak anda untuk menjawap apabila berada di mahkamah sahaja.
c. Sekiranya mereka berkata “Tidak”, anda boleh beredar pada bila-bila masa sahaja.


4. JIKA ANDA DITAHAN

a. Beritahu orang-orang yang berhampiran dengan anda
b. Sekiranya anda mempunyai telefon bimbit, telefon rakan, keluarga atau peguam anda. Sekiranya anda ditahan di kawasan diantara Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Dataran Merdeka, besar kemungkinan anda akan dibawa ke balai polis Dang Wangi (Stadium) dan balai polis Campbell. Minta kawan anda, keluarga atau peguam anda pergi ke balai polis Dang Wangi dahulu untuk mengesahkan penangkapan anda dan dimana anda berada.
c. Catatkan / ingatkan waktu anda ditahan

5. KETIKA DITAHAN, PIHAK POLIS MESTI MEMBERITAHU ANDA

a. Mengapa anda ditahan

6. SELEPAS DITAHAN

a. Pihak polis hanya boleh menahan anda didalam lokap selama 24 jam sahaja, tidak kira samada pada hari cuti am atau pada hujung minggu. Ini adalah hak PERLEMBAGAAN anda. Selepas tempoh masa 24 jam berakhir, pihak polis mesti membawa anda ke hadapan majistret untuk direman (dimana anda mesti tinggal di lokap polis bagi ‘membantu’ siasatan mereka). Jika tidak, anda akan dilepaskan samada atas jaminan (jamin mulut) atau akan didakwa di mahkamah. Sebaik sahaja didakwa, anda perlukan penjamin dan wang jaminan kecuali ianya bukan dakwaan yang berjamin

b. Anda tidak boleh membawa sebarangan barang-barang ke lokap kecuali pakaian yang sedang anda pakai ketika itu. Apabila pihak polis mengambil barang-barang anda, anda mesti menurunkan tandatangan untuknya. Sekiranya anda mempunyai wang atau kad bank / kredit, pastikan anda mengira duit anda dan pastikan polis tersebut mencatatkan jumlah yang anda ada, dan apa kad bank / kredit yang anda miliki.

c. Anda mungkin diminta memberi kenyataan 113 (kenyataan peringatan). Pegawai polis yang mengambil kenyataan tersebut mestilah membacakan hak-hak anda

7. SOAL SIASAT POLIS

a. Berhati-hatilah semasa menjawap soalan-soalan yang diajukan oleh pihak polis. Ia mungkin dalam bentuk soalan-soalan mesra yang biasa seperti cuaca, keluarga anda dsb. untuk menenangkan anda. fikir berulang kali sebelum menjawap kerana ia boleh digunakan untuk menentang anda semasa dimahkamah nanti. Ingat, kerja polis ialah memastikan mereka mempunyai cukup bukti untuk mendakwa anda, dan bukannya untuk mempunyai perbualan yang mesra.

b. Sekiranya pihak polis meminta anda memberikan kenyataan 113, anda mesti memberikan butir-butiran anda seperti nama anda, nombor kad pengenalan dsb. dan pastikan anda tahu nama pegawai polis tersebut. Jika terdapat lain-lain soalan, kami BETUL-BETUL nasihatkan anda supaya tidak menjawapnya sehingga hari perbicaraan anda dimahkamah, dan ketika bersama-sama dengan peguam anda. Itu adalah hak anda! Apa sahaja yang anda kata, boleh digunakan untuk menentang anda ataupun rakan-rakan anda. Anda boleh menjawap semua soalan-soalan lain tersebut seperti ini:

S: adakah anda berada di Dataran petang tadi?
J: saya hanya akan menjawap semua soalan di mahkamah
S: bagaimana anda datang ke Dataran petang tadi?
J: saya hanya akan menjawap semua soalan di mahkamah
S: adakah ibu anda menyediakan bekalan sebelum anda keluar?
J: saya hanya akan menjawap semua soalan di mahkamah

c. Sekiranya pegawai polis yang mengambil kenyataan anda mengancam anda secara percakapan mahupun kelakuan, anda mestilah berhenti dari memberikan kenyataan anda dengan segera. Bertenang dan beritahunya “Saya tidak boleh meneruskan kenyataan saya kerana awak telah mengancam keselamatan saya. Saya mahu ini dicatatkan kedalam kenyataan saya.” Sekiranya pegawai polis itu tidak mencatatkan bantahan anda tersebut, tunggu sehingga ke akhir kenyataan anda. Tetapi sekiranya pegawai polis tersebut masih terus mengancam anda, tinggalkan bilik tersebut dan beritahu pegawai polis yang lain dan minta ‘perlindungan’ mereka.

d. Apabila anda telah habis menjawap soalan, pegawai polis akan membenarkan anda membaca kenyataan anda tersebut. Dia akan bertanya samada anda mempunyai apa-apa yang ingin ditambah, ditukar atau dipadamkan. Inilah masanya anda membetulkan apa-apa kesilapan atau atau menambah lain-lain komen didalam kenyataan itu. Contohnya, jika anda telah diancam sewaktu soal siasat atau diserang semasa penahanan anda dsb. ini adalah satu lagi peluang untuk anda menyatakannya. Pegawai polis berkenaan mesti menaip semua itu. Anda akan diminta untuk menandatangani kenyataan anda tersebut. Baca semula dengan teliti dan tandatangan sedekat yang boleh dibawah perenggan yang terakhir, supaya tiada siapa yang boleh menokoktambahnya lagi.

8. SEKIRANYA ANDA DIBAWA KE DEPAN MAJISTRET (Untuk Direman)

a. Sekiranya anda tidak mempunyai peguam, anda mesti meminta wakil peguam. Pusat Bantuan Guaman ada menempatkan peguam-peguamnya dimahkamah bagi tujuan ini.

b. Beritahu majistret sekiranya anda ada mempunyai apa-apa rungutan seperti sekiranya anda di pukul, diancam; sekiranya anda sakit, perlukan rawatan perubatan dsb.

9. SEKIRANYA ANDA DIBAWA KE DEPAN MAJISTRET (Untuk Dakwaan)

a. Sekali lagi, anda mesti meminta wakil peguam

b. Pastikan anda mempunyai seseorang untuk menjamin anda keluar. Sekiranya anda tidak dapat menghubungi keluarga atau rakan anda, minta kebenaran dari majistret untuk membantu anda menghubungi keluarga anda. Jika tidak, anda boleh meminta bantuan peguam anda. Keluarga anda akan perlu membawa duit untuk menjamin anda keluar, yang mana mestilah dalam bentuk pembukaan akaun di bank yang terletak paling dekat dengan mahkamah tersebut. Tanya peguam anda atau majistret dimanakah letaknya bank tersebut. Tidak ada bentuk bayaran lain seperti bayaran tunai atau cek yang akan diterima oleh mahkamah.

10. SEKIRANYA ANDA DIPUKUL SEMASA DALAM TAHANAN

a. Selepas anda dibebaskan atas jaminan, pastikan anda pergi ke mana-mana klinik kerajaan atau hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Pastikan anda tahu nama doktor yang bertugas dan nombor rujukan laporan kesihatan anda supaya ia boleh digunakan dimahkamah kemudian.

b. Sekiranya anda masih dalam reman, pastikan anda memberitahu majistret yang berkenaan bahawa anda perlu pergi ke hospital atau ke klinik.

Sumber dari http://idhamlim.blogspot.com/2010/03/10-perkara-yang-anda-perlu-tahu.html

Sunday, February 21, 2010

Awasi cuaca panas



CUACA panas dan kering yang melanda negara sejak awal tahun ini dilaporkan bakal menjadi lebih terik apabila kedudukan fenomena matahari berada tegak di garisan Khatulistiwa dengan tempoh siang dan malam di hemisfera selatan serta utara hampir sama berlaku pada 21 Mac ini.

Keadaan panas itu menyebabkan keadaan terik baik di utara tanah air manakala di beberapa kawasan di Johor menyaksikan catuan air akibat paras air sungai yang merosot.

Apapun, anda perlu berhati-hati dengan keadaan cuaca panas melampau ini yang boleh mengundang pelbagai masalah kesihatan andai tidak membuat persiapan menghadapinya.


Bagi sesetengah orang terutama yang berada dalam kumpulan berisiko seperti warga tua, bayi dan kanak-kanak selain mereka yang berhadapan dengan masalah jantung dan tekanan darah tinggi, cuaca panas melampau boleh membawa kepada komplikasi kesihatan lain.

Antara risiko cuaca panas melampau adalah masalah dehidrasi iaitu kehilangan air daripada tubuh juga mineral lain dalam darah seperti potassium dan sodium yang berperanan dalam fungsi organ iaitu ginjal, otak dan jantung.

Malah ramai yang tidak tahu, masalah kehilangan air atau dehidrasi juga boleh menyebabkan kekeliruan, kelesuan selain menjejaskan pernafasan dan denyut nadi.

Dalam keadaan normal, peluh yang terhasil apabila kita panas membantu menyejukkan tubuh apabila ia tersejat di permukaan kulit. Bagaimanapun, jika hari terlalu panas, terlalu berpeluh akan menyebabkan sistem ini gagal. Suhu tubuh berpotensi meningkat ke tahap yang bahaya.

Ia boleh menjadi punca berlakunya keletihan atau kepanasan melampau. Malah boleh menyebabkan sakit kepala, pening dan kejang otot.

Bagaimana untuk mengelakkan masalah ini?

1) Minum banyak air

Disebabkan anda kehilangan air dalam tubuh, anda juga perlu menggantikannya semula. Dalam keadaan biasa, seseorang yang memiliki berat badan 58 kilogram sepatutnya meminum lapan gelas air sehari. Iaitu berdasarkan peraturan biasa, untuk setiap 0.9 kilogram berat badan, anda memerlukan 28.4ml air.

Bagaimanapun, dalam cuaca yang panas, pengambilan air patut ditingkatkan. Sebaiknya nikmati air suam atau mungkin jus buah-buahan tetapi bukan minuman berkarbonat. Minuman berkarbonat atau alkohol hanya akan membuatkan anda kehilangan lebih banyak cecair dalam badan. Minuman ais juga sepatutnya dielakkan kerana ia boleh menyebabkan kekejangan pada perut.

2) Ubahsuai diet anda

Elakkan makanan pedas atau berat. Makanlah makanan sejuk terutama salad atau buah-buahan yang mengandungi kandungan air yang tinggi.

3) Rasional dalam melakukan senaman

Jangan bersenam atau beriadah pada waktu petang yang panas. Anda mungkin boleh memilih waktu lain yang lebih sesuai.

4) Pilih pakaian yang sesuai

Pastikan anda memakai baju dengan warna-warna terang, longgar dan diperbuat daripada kain kapas. Baju berwarna gelap menyerap haba.

5) Elakkan perangkap haba

Parkir kereta anda di kawasan yang tertutup. Kalau boleh berada dalam kawasan berhawa dingin. Jika perlu keluar dari pejabat atau rumah, pastikan anda sentiasa membawa air.

Fakta
Kesan haba panas pada tubuh


20 darjah Celcius - selesa, denyut nadi normal.

25 darjah Celsius - peluh biasa.

30 darjah Celsius - Ketidakselesaan.

40 darjah Celsius - Kepanasan melampau, berpeluh, denyut nadi pantas, letih.

45 darjah Celsius - Kepanasan melampau, peluh terhenti, panas dan kulit kering.

Sumber
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Sihat/20100221103941/Article

Thursday, January 14, 2010

Live Life

Beautiful of Islam

There is no word as beautiful as Allah.
No example as beautiful as Rasulallah(SAW).
No lesson as beautiful as Islam
No song as melodious as Azan.
No charity as meaningful as Zakat.
No encyclopaedia as perfect as Al-Quran.
No prayer as perfect as Namaz.
No diet as perfect as fasting.
No journey as perfect as Hajj

Monday, January 11, 2010

Selesai sudah

Kami adik beradik akhirnya boleh menguntum senyum gembira apabila majlis perkahwinan adik yang bongsu Natrah akhirnya selesai jua. Terima kasih untuk isteri, Pak Ngah dan Mak Ngah (pantang pun susah payah datang), Pak Lang dan Mak Lang, Pak Uda dan Mak Uda dan terutama abah dan emak. Good job all. Semua kepenatan tapi masih ceria. Sebagai abang tiada apa yang dapat dirakamkan selain rasa seronok yang tak terkira walaupun ada juga cacat cela dalam menggembirakan hati orang. Lumrah lah tu (",)

Sempat juga berborak dengan emak dan abah sebelum pulang semalam supaya mengenangkan memori yang manis manis sahaja sepanjang susah payah usaha mereka untuk melihat semua anak anak berkahwin. Akhirnya sudah terlaksana.

Gembira menyambut ahli keluarga baru, Yazid Zaimuri dalam keluarga kami. Selamat datang Pak Chu. Seperti melengkapkan sebuah institusi keluarga yang mantap.

InsyaAllah kita akan buka lembaran 2010 dengan lebih berita gembira dari tahun sebelumnya. Bismillah..