Sunday, November 22, 2009

Ketagih duit lama

Tawaran RM1.2 juta untuk sekeping wang keluaran 1911 yang memiliki nombor siri A000001 sangat berbaloi

BERAPAKAH jumlah yang anda sanggup bayar untuk memiliki sekeping wang tinggalan zaman pentadbiran Negeri-Negeri Selat? RM10 atau RM100? Bagaimana kalau harganya mencecah RM1.2 juta?

Bagi kebanyakan kita, nilai sebegitu tinggi tidak munasabah. Bagaimanapun, bagi pengumpul wang lama, kepuasan melengkapkan koleksi lebih diutamakan. Justeru, RM1.2 juta untuk sekeping wang keluaran 1911 yang memiliki nombor siri A000001 sangat berbaloi.
Minat mengumpul wang kertas dan duit syiling lama semakin subur di Malaysia berbanding sekitar 1990an atau 1980an. Disebabkan sudah ramai pengumpul, mendapatkan koleksi wang juga semakin sukar. Harganya juga meningkat setanding nilai mata wang semasa.

Bagi pengumpul di Malaysia melengkapkan koleksi wang tempatan, termasuk Brunei dan Borneo ketika zaman penjajahan Inggeris hingga kini adalah satu kemestian. Dari situ, mereka akan melebarkan koleksi kepada wang negara lain, misalnya mata wang Eropah zaman sebelum pengenalan Euro. Tidak kurang juga yang mengumpul wang negara bermasalah seperti Afghanistan dan Iraq selain negara miskin seperti Uganda atau Brazil kerana kos untuk memilikinya sangat murah.

Pengumpul mata wang, Lawrence de Souza, berkata sebelum merdeka, Malaysia atau Tanah Melayu menggunakan mata wang Dolar dan ia turut digunakan di British Borneo merangkumi Sabah, Brunei dan Sarawak.

Justeru, kata de Souza, melengkapkan koleksi mata wang dolar bermula 1901 hingga 1967 adalah antara impian besar pengumpul mata wang.

Pada 1901 hingga 1910, Tanah Melayu menggunakan mata wang dengan imej Raja Edward Ketujuh. Ia kemudian bertukar kepada dolar dengan gambar George V (1910-1936), George VI (1936-1952) dan Ratu Elizabeth (1952-1967).

“Pada 1967 Malaysia memperkenalkan mata wang dikenali sebagai Siri Parlimen dan ia kekal hingga 1988. Ketika itu, Malaysia memiliki wang kertas bernilai RM1,000 yang ditulis sebagai “saribu”,” katanya.

Kata de Souza, nilai sekeping wang saribu yang berkeadaan baik dan nombor siri menarik boleh mencecah hingga RM50,000. Bagaimanapun, dalam koleksi wang kertas lama Malaysia, wang dengan nilai saribu itu paling susah ditemui. Jika adapun, pemiliknya tidak akan menjualkannya kerana nilai sentimental yang ada pada wang itu.
Sebenarnya, dalam menilai kegilaan mengumpul wang lama, nilai muka tidak penting. Harga ditawar berdasarkan keadaan atau kualiti duit, tahun dikeluarkan dan nombor siri duit berkenaan.

Wang kertas RM2 yang berkeadaan baik, misalnya boleh mencecah hingga ratusan ringgit. Apatah lagi jika ia edisi khas, misalnya 10 keping RM2 yang tidak dipotong.

Selain wang era Siri Parlimen, wang zaman Negeri-Negeri Selat, Negeri-Negeri Bersekutu dan Negeri-Negeri Tidak Bersekutu juga adalah antara yang popular.

Duit syiling dan syiling peringatan juga mendapat permintaan tinggi. Duit syiling suku sen yang digunakan di Negeri-Negeri Selat, misalnya boleh mencecah hingga RM150,000. Selain keunikannya, syiling ini bersepuh emas.

Duit syiling setengah sen dan satu sen keluaran 1891 juga boleh mencecah nilai sama.

“Ada banyak sebab orang mengumpul wang lama. Mungkin keasyikan melengkapkan koleksi atau mungkin bermula dengan suka-suka tetapi akhirnya ketagih,” katanya.

Bagi de Souza, dia mula mengumpul wang lama sejak remaja tetapi minatnya semakin bertambah apabila bertugas di bank komersial. Hari ini sebagai pesara bank, dia memiliki banyak koleksi wang lama terutama pada era pemerintahan Inggeris.

“Mengumpulkan wang lama pada hari ini tidak lagi seperti dulu kerana dulu jumlah pengumpul sedikit, manakala wang lama yang ada di pasaran banyak. Hari ini sebaliknya,” katanya.

Selain membeli di kedai menjual mata wang lama, de Souza melengkapkan koleksinya dengan menghadiri lelong wang lama yang dianjurkan Persatuan Numismatik Malaysia. Ada kala, jika acara lelongan itu tidak menemukannya dengan mata wang yang dicari, de Souza seperti pengumpul wang lama akan mencarinya pada acara lelongan mata wang lama di luar negara seperti di Hong Kong.

Pengumpul mata wang dengan modal besar pula boleh mendapatkan mata wang yang dikehendaki dengan membelinya melalui ejen mata wang yang berkhidmat secara bebas. Mereka biasanya warga asing yang mahir dalam selok belok urusan mata wang.

Walaupun dianggap sebagai hobi yang mahal bagi sesetengah orang, hobi mengumpul mata wang lama sebenarnya banyak bergantung kepada keadaan kewangan individu. Ini kerana walaupun ada wang lama yang boleh mencecah nilai hingga ratusan dan jutaan ringgit, ada juga wang yang boleh dibeli pada harga RM3 saja.

Lebih istimewa, seni pembuatan wang itu sendiri berbeza walaupun datang dari negara sama selaras dengan perkembangan budaya dan kemajuan negara berkenaan. Sesebuah negara, misalnya menukar mata wang yang digunakan lebih daripada sekali dalam masa 10 tahun. Semua ini dilakukan bagi memantapkan lagi mekanisme keselamatannya, selain perkembangan semasa yang menuntutnya berbuat demikian.

Banjir naikkan nilai syiling 10 sen

APA yang membuatkan sekeping wang lama boleh mencecah hingga ratusan ringgit? Pengumpul dan pekerja kedai menjual mata wang lama, Tan Meng Fong, berkata antara faktor yang membuatkan wang lama bernilai tinggi ialah keadaannya yang masih baik, tidak berlipat, jauh sekali terkoyak.

“Ada juga wang lama sedikit terjejas, misalnya berlipat tetapi hanya satu lipatan. Dengan satu lipatan pun, ia berupaya menurunkan nilainya,” katanya.

Kata Tan, satu lipatan pada wang boleh menjejaskan sehingga 50 peratus nilainya. Justeru, harganya akan terus menurun jika wang itu memiliki dua atau tiga lipatan.

“Pengumpul jarang memilih wang yang dilipat lebih dari sekali melainkan ia benar-benar sukar diperoleh. Namun, harganya tidak semahal harga wang sama tetapi masih elok,” katanya.

Selain kualiti, wang yang dihasilkan dalam jumlah yang terhad juga melonjakkan harga. Misalnya, duit syiling keluaran 1971 memiliki nilai tinggi di kalangan pengumpul kerana ditempa di Jerman Barat. Duit syiling itu adalah duit syiling Malaysia yang terakhir ditempa di luar negara.

Pada tahun sama, sebahagian duit syiling ditempa di kilang wang Bank Negara Malaysia di Shah Alam.

Bagaimanapun, penempaannya terhad kepada syiling 10 sen saja. Banjir besar yang melanda Selangor dan Kuala Lumpur menjejaskan operasi penempaan apabila limpahan banjir masuk ke dalam mesin pencetak.

Kejadian itu menyebabkan hanya 32,000 keping sempat ditempa. Jumlah yang sedikit melonjakkan permintaannya.

Kata Tan, sekeping duit syiling 10 sen yang dikeluarkan pada 1971 boleh mencecah harga RM2,500.

“Syiling peringatan juga memiliki peminat tersendiri. Lebih ramai peminat, lebih tinggi nilainya. Wang syiling peringatan RM5 boleh bernilai RM1,800,” katanya.

Faktor sukar diperoleh juga meningkatkan nilai wang berkenaan. Bagi wang kertas Malaysia atau Tanah Melayu dan Negeri-Negeri Selat, keluaran terhad menyumbang kepada nilainya.

Adakala edisi wang terhad disebabkan perkhidmatan Gabenor Bank Negara yang singkat melonjakkan harga wang lama. Misalnya, untuk 1981 hingga 1984, Bank Negara Malaysia diterajui Tan Sri Aziz Taha.

Dalam tempoh tiga tahun menjadi Gabenor Bank Negara, Aziz menandatangani dua siri wang kertas Malaysia (siri 4 dan siri 5). Faktor ini menjadikan nilai wang kertas pada era Aziz sangat mahal.

Apatah lagi jika wang itu memiliki nombor siri berturutan atau berlaku kesilapan pencetakan pada permukaannya.

Wang dengan nombor siri yang tersusun cantik juga sangat mahal. Untuk sekeping wang kertas RM50 era Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ahmad Don misalnya, ia boleh mencecah hingga RM1,000.

Wang dengan nombor siri bersusun, tiga, lapan dan sembilan mencecah RM1,000 sekeping, manakala wang dengan nombor siri BB888888 boleh mencecah 10,000. Namun, urutan siri nombor empat tidak popular di kalangan pengumpul bangsa Cina. Ia hanya dibeli pengumpul Melayu atau India. Nilainya pula berlegar sekitar RM400 saja.

Nilai wang lama juga dipengaruhi oleh nilai mata wang semasa negara berkenaan. Sebagai contoh, wang kertas lama negara seperti Britain dan New Zealand serta wang negara Eropah sangat tinggi nilainya berbanding wang kertas dari Iraq atau Afghanistan.

Satu set wang Jerman sebelum pengenalan Euro boleh mencecah hingga RM12,000, manakala wang kertas era Saddam Hussein atau wang kertas era Taliban boleh dibeli pada harga RM3 saja.

Termasuk dalam kategori wang murah ini ialah wang kertas Kemboja keluaran 1972, wang Brazil keluaran 1980 dan mata wang Guyana dari 1966-1992.