Thursday, September 23, 2010

KAEDAH PENGAJARAN AL-QURAN MASA KINI

Oleh : Us. Shahrin Awaludin

Fakulti Pendidikan UKM

Pendekatan terbaik pengajaran al-Quran ialah TALAQQI dan MUSYAFAHAH iaitu berdepan secara langsung di antara guru dengan murid seperti mana yang berlaku antara malaikat Jibril dan Rasulullah saw ketika wahyu yang pertama diturunkan di gua Hira’. Pengajaran al-Quran juga perlu dilakukan dalam kumpulan kecil bagi memudahkan guru melakasanakan pendekatan talaqqi dan musyafahah di atas.

Kaedah utama pengajaran al-Quran di Malaysia dan seluruh dunia Islam amnya ialah menggunakan kaedah Baghdadiyah. Hanya sejak akhir-akhir ini sahaja muncul beberapa kaedah baru pengajaran al-Quran di Malaysia iaitu kaedah Qiraati, kaedah Iqra’ dan kaedah Hattawiyah. Berikut ialah huraian ringkas kaedah-kaedah pengajaran al-Quran tersebut :


1. Kaedah Baghdadiyah

Kaedah ini merupakan kaedah yang paling lama dan meluas digunakan di seluruh dunia. Ia dipercayai berasal dari Baghdad, ibu kota Iraq dan diperkenalkan di Malaysia seiring dengan kedatangan Islam ke Tanah Melayu sejak berabad yang lalu. Kaedah Baghdadiyah menggunakan sebuah buku yang dinamakan Muqaddam yang menjadi bahan utama pengajaran asas tilawah al-Quran. Kaedah ini menekankan kepada pengenalan huruf Hijaiyyah, baris dan ejaan.


2. Kaedah Qiraati

Kaedah Qiraati yang bermaksud “Bacaanku” mula diperkenalkan pada tahun 1963 di Semarang, Indonesia oleh seorang guru al-Quran yang bernama Bapak Haji Dachlan Salim Zarkasyi. Pada mulanya terdiri dari sepuluh jilid buku untuk kanak-kanak berusia enam tahun ke atas. Kemudian dikemaskinikan menjadi lapan jilid, enam jilid dan akhirnya lima jilid. Kaedah ini bermula dengan memperkenalkan huruf Hijaiyyah hinggalah ke buku jilid lima untuk pelajaran yang lebih susah seperti bacaan huruf qalqalah dan sebagainya. Apabila selesai lima buah buku tersebut pelajar akan dilatih membaca juzuk ‘Amma dan seterusnya al-Quran muhaf rasm Othmani.


3. Kaedah Iqra’

Kaedah Iqra’ atau cara cepat belajar al-Quran Rasm Uthmani juga adalah berasal dari Indonesia iaitu mula diperkenalkan pada tahun 1984 di sebuah Taman Kanak-Kanak Al-Quran di Kota Gedo, Jogjakarta. Pengasas kaedah ini ialah Haji As’ad Humam yang telah menyusun enam jilid buku Iqra’. Buku-buku Iqra’ sepertimana juga buku Qiraati disusun untuk memudahkan pengajaran dan pembelajaran al-Quran dari peringkat pengenalan huruf Hijaiyyah hinggalah menguasai tilawah al-Quran dengan baik dan mengikut hukum tajwid. Kaedah ini mengutamakan bimbingan dan latih tubi. Oleh kerana itulah setiap orang guru hanya akan membimbing lima atau enam orang murid sahaja bagi satu sesi pengajaran yang mengambil masa selama enam puluh minit. Kaedah Iqra’ telah diterima dan digunakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1994 bagi pengajaran dan pembelajaran al-Quran di sekolah.


4. Kaedah Hattawiyyah

Sementara kaedah Hattawiyyah pula adalah satu kaedah membaca al-Quran dengan berpandukan tulisan rumi. Kaedah ini diperkenalkan bagi membantu pelajar yang terlalu lemah dalam tulisan jawi. Oleh kerana itu syarat utama untuk mengajar atau menggunakan kaedah ini ialah pelajar tersebut benar-benar buta al-Quran dan pelajar tersebut boleh membaca rumi. Kaedah ini dianggap sebagai sementara, langkah terakhir dan hanya untuk golongan tertentu sahaja bagi mempastikan mereka tidak terus buta al-Quran.